KOTA BHARU – Seorang lelaki warga emas yang hilang hampir 17 jam dijumpai maut selepas dipercayai tergelincir ke dalam paya di Kampung Beta, Hulu Nilam Puri, di sini hari.
Mangsa, Fakhrurazi Mamat, 65, dipercayai hilang tanpa khabar berita selepas keluar ke kebun berhampiran rumahnya kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Hasri Hussin berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tersungkur di dalam paya buatannya sendiri sedalam lima meter.
Menurutnya, mangsa dijumpai oleh penduduk kampung kira-kira pukul 10 pagi selepas usaha mencarinya sejak pukul 9 malam tadi gagal.
“Difahamkan anak lelakinya yang berusia dalam lingkungan 30-an sudah membuat laporan polis selepas mendapati bapanya tidak pulang selepas keluar ke kebun yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.
“Kita menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.10 pagi tadi dan sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hasri memberitahu, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa berada dalam keadaan tersungkur di dalam paya itu dan sudah meninggal dunia.
Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam paya ketika melalui kawasan berkenaan.
Tambahnya, mayat warga emas itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Warga emas hilang ditemui tidak bernyawa dalam paya appeared first on Kosmo Digital.