Warga emas maut tergelincir dalam banjir

TAMPIN – Seorang warga emas maut selepas tergelincir ke dalam air banjir di kebunnya ketika cuba meleraikan tali ikatan haiwan ternakannya di Felda Sungai Kelamah di sini pagi tadi.

Isteri mangsa, Hashimah Ali, 62, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, mereka terkejut apabila air naik lebih satu meter di kawasan kebun getah yang menjadi kawasan penternakan lembunya.

Menurutnya, arwah suaminya, Rosli Roslan, 65, sedang cuba membuka tali berkenaan namun tergelincir ke dalam limpahan air.

“Saya terus berlari ke arah suami dan menariknya ke tebing. Saya tak fikir keadaan air dah tinggi, saya cuma fikir keselamatan suami dengan memberikan bantuan pernafasan, bertakbir dan mengucapkan kalimah syahadah supaya didengarinya.

“Suami tidak memberikan sebarang maklum balas memaksa saya menghubungi rakan sekampung bagi meminta bantuan. Bila mereka sampai, suami seakan sudah meninggal dunia dan membaringkannya di atas penutup tangki,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tampin, di sini tadi.

Jelasnya, sepanjang dua tahun menetap di situ, tidak pernah berlaku kejadian banjir seburuk itu.

“Saya redha dengan kejadian ini. Allah permudahkanlah semua urusan arwah suami saya. Malah benar kata-katanya, dia akan pergi dulu (meninggal dunia) sebelum saya. Dia tinggalkan pesanan jangan takut selepas ketiadaan dia nanti,” ujar pesara guru tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kem Syed Sirajuddin, Gemas itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab mengesahkan kejadian berkenaan dan mangsa sudah dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat. -K! ONLINE

 

 

 

The post Warga emas maut tergelincir dalam banjir appeared first on Kosmo Digital.