KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang untuk mewujudkan kelas prasekolah di semua institusi di bawah kementerian itu bermula minggu depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun cadangan itu akan dilakukan secara berperingkat berdasarkan permintaan, keperluan dan keupayaan terhadap komitmen KPM.
“Hala tuju kita setakat ini, kita akan memperluaskan peluasan prasekolah di bawah institusi KPM. Prasekolah KPM ini percuma dan kita mahukan ibu bapa memilihnya.
“Sifat awal prasekolah ini bagi mengelakkan keciciran dan melakukan intervensi awal. Ia akan berlaku dengan pesat kerana kita akan mewajibkan di semua institusi KPM dan diwajibkan di semua 27 buah IPG,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Keusahawanan PERMATA Remaja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di sini, hari ini.
Tambah Fadhlina, sebanyak 129 kelas prasekolah ditambah pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan 9,909 di seluruh negara bagi memberi peluang kepada lebih ramai murid mendapat pendidikan peringkat awal.
Selain itu, merujuk kepada cadangan mewajibkan semua kanak-kanak terutama Bumiputera untuk mula belajar sistem prasekolah seawal usia lima tahun, Fadhlina berkata, pihaknya bersama petugas khas (task force) yang telah ditubuhkan sedang meneliti keperluan tersebut.
Terdahulu, Karnival Keusahawanan PERMATA Remaja dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan penglibatan seramai 250 peserta.
Menurut Fadhlina, hasrat penubuhan karnival ini adalah bagi mempraktik amalan pendidikan berterusan dalam kalangan anak-anak Malaysia sejak lahir hingga dewasa (from cradle to career) khususnya golongan remaja berisiko B40.
“Ada di antara peserta juga telah berjaya menjana pendapatan sehingga RM2,500 sebulan melalui bakat keusahawanan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Wujud kelas prasekolah di seluruh institusi KPM appeared first on Kosmo Digital.